Tuesday, March 2, 2010

Kata Imam Syafie dalam menghadapi kematian.




"Pang!" Pintu penjara yang terletak di tepi kota Baghdad ditutup kuat, membingitkan telinga-telinga yang mendengarnya.
    
            “Jangan sesekali kalian cuba membuat onar dan sebarang kekecohan di sini. Kelak pasti kalian dihukum dengan hukuman yang lebih berat,” kata penjaga penjara dengan tegas.

            Imam Syafie dan pengikutnya hanya berdiam diri. Lambat-lambat mereka mengengsotkan badan mereka ke tepi dinding bagi yang teramat lemah dan letih itu. Sesungguhnya berada di penjara itu lebih baik daripada dipaksa berjalan di tengah padang pasir yang panas dan terik seperti yang sudah mereka tempuhi dari kota Najran ke kota Baghdad dengan tangan terikat  selama dua bulan sebelum ini.

            ” Wahai Imam Syafie, pada perkiraanmu apakah yang akan terjadi kepada kita selepas ini? Mungkinkah akan berakhir ke tali gantung?” tanya  muridnya Abdul Razzaq, perlahan. Beliau begitu dahaga. Tekaknya terasa perit dan kesat pada saat itu


            ”Ataupun mungkin sahaja bukan ke tali gantung, tetapi ke pedang bagi dipancung oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid, wahai Abdul Razaaq,” sambung muridnya yang lain, Waliyyuddin tanpa sempat Imam Syafie menjawab soalan itu terlebih dahulu. Waliyuddin memandang wajah Abdul Razaaq dengan muka yang bercahaya dan penuh kegembiraan, panji syahid berkibar megah di piala hatinya. Sungguh, beliau sudah tidak sabar mahu bertemu kekasih hatinya iatu Allah yang Maha Agung.

            ”Saya sendiri tidak dapat menjangka apa yang akan kita tempuhi selepas ini, kerana saya juga seperti kalian, hanya manusia biasa malah hamba yang lemah, berserah dan bertawakal sahaja serta Dialah juga yang Maha menTaqdirkan segala sesuatu,” ujar Imam Syafie kepada kesemua sahabatnya.

            Sahabat-sahabat Imam Syafie hanya mengangguk-anggukan kepada tanda mengerti. Ada juga sesetengah dariapda mereka hanya berdiam diri, mungkin kerana memikirkan apa yang bakal Allah takdirkan buat mereka selepas ini.

            ”Sekiranya pedang pancung yang menanti kita selepas ini, bersyukurlah kerana kita ditakdirkan bertemu Allah tidak lama lagi. Tetapi sekiranya bebas dari penjara ini yang diberikan, bersyukurlah kerana Allah bentangkan peluang dan ruang masa yang lebih untuk kita terus berbakti dan mengutip timbunan-timbunan pahala di sepanjang jalan dakwah dan perjuangan ini, wahai sahabat-sahabat seakidahku,”  tambah Imam Syafie lagi sambil menggerak-gerakkan kedua-dua belah tangannya yang agak kebas itu.

Renungan


            Ikhwati fillahi, kisah ini terjadi saat Imam Syafie dituduh memberontak atas nama puak Alawiyah ataupun Syiah kepada Gubernur Najran yang baru as-Saud. Walhal, gubernur itu dendam dengan Imam Syafie saat ditegur akan kelalaiannya dalam menjalankan tugas dan penggunaan uang di Baitul mal untuk kepentingan pribadi. Akhirnya, dia memfitnah Imam tersebut dengan mengirimkan surat kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid tentang perbuatan yang sama sekali tidak pernah dilakukan oleh Imam Syafie.

Hasilnya, Imam Syafie beserta pengikut-pengikutnya diiringi oleh pasukan berkuda Khalifah dari Kota Najran menuju ke Pusat Pemerintahan Abbasiyah di Baghdad dengan tangan yang terikat oleh besi dan berjalan kaki untuk diadili.

Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah. Betapa luar biasa akhlak beliau jika dibandingkan dengan manusia saat ini. Kesabarannya dalam menghadapi dugaan melebihi kita semuanya. Bahkan, meskipun kematian di ambang mata, keteguhannya akan janjinya Allah tetap berkibar di hati. Jauh sekali jika dibandingkan dengan keadaan kita semua saat ini.

            Dulu kala, penulis masih takut akan menghadapi kematian, kerana belum siap meninggalkan kesenangan dunia. Tapi, sekarang, penulis merasa bahwa dunia itu hanya tempat kita berbuat. Yang mana perbuatan tersebut, akan kita tanggungjawabkan ke Allah kelak. Maka barangsiapa yang menjual kesenangan dunia untuk mendapatkan akhirat, beruntunglah dia, kerana Allah berfirman

Bismillahirrahmanirrahim,



"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan (balasan) syurga untuk mereka (disebabkan) mereka berperang dijalan Allah: maka (diantara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam Taurat Injil dan Al-Qur’an; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah ayat 111)."


            Lihatlah kebahagiaan Imam Syafie dalam menghadapi keraguan antara dihukum mati ataupun tidak. Dua-duanya disyukuri olehnya. Inilah, manusia yang sejati, manusia yang hidup dan mati untuk Allah S.W.T.


Sedangkan kita?................

No comments:

 

www.luthfi679.blogspot.com