Monday, September 28, 2009

tulisan ini diambil dari Ust saya Abdul Syahid Syafruddin


Curigai Diri Anda!

Posted on August 15th, 2009 in MotivasiSikap

Curiga-mencurigai adalah suatu yang tidak baik. Apalagi kalau curiga yang mendorong kepada hasad dan dengki. Namun setelah kita menteliti dari beberapa peristiwa yang sering kita dengar dari sejarah akan perihal para sahabat Rasulullah SAW, kita menemukan bahawa mereka ternyata sangat suka bercuriga. Bezanya antara kita hari ini, curiga kita lebih kepada hal-hal yang tak patut dan melibatkan orang lain sedangkan mereka mencurigai hal-hal yang perlu dicurigai dan melibatkan diri mereka sendiri. Ya, mereka mencurigai diri mereka sendiri!!
Sering kita dengar mengenai para sahabat yang menangis kerana curiga amal mereka tidak diterima. Ramai dari mereka ketakutan mencurigai iman dan taqwa di hati mereka. Ramai dari mereka curiga amal mereka tidak ikhlas dan dipenuhi riak.
Contoh yang sering kita dengar kisah Saidina Umar RA yang bertanya kepada Huzaifah Bin Yaman RA. Huzaifah dikatakan sebagai seorang yang selalu bersama Rasulullah SAW lalu Saidina Umar bertanya adakah beliau pernah mendengar Baginda mengatakan perihalnya, Saidina Umar curiga dirinya tergolong dari mereka yang munafik.
Imam Hasan Basri pernah berkata, “Orang munafik selesa dengan kemunafikan mereka (sehingga tidak sedar akan diri mereka munafik) sedang orang mu’min gelisah takut diri tergolong dari mereka yang munafik (kerana sentiasa merasa diri mereka munafik)”
Sikap ini perlu kita contohi. Kita perlu sentiasa curiga akan diri kita sendiri. Curigailah hati dan kandungan iman serta taqwa di dalamnya. Curigailah niat anda siapa tahu ada riyak di dalamnya. Curigailah langkah anda siapa tahu menuju ke arah yang tidak sepatutnya. Curigailah ringan tulang anda siapa tahu anda mengharapkan sesuatu dari selain Allah. Curigailah harta anda siapa tahu ada hak orang lain padanya. Curigailah solat anda siapa tahu tiada khusyuk di dalamnya. Curigailah masa anda siapa tahu ada lagha di dalamnya. Curigailah makanan anda siapa tahu ada haram padanya. Curigailah kata-kata anda siapa tahu ada bohong padanya. Curigailah isteri dan anak anda siapa tahu mereka jauh dari kebaikan dan dekat pada kemungkaran. Curigailah curigailah dan curigailah.. Mari sama-sama kita mencurigai diri kita demi mencapai tahap yang lebih baik.

No comments:

 

www.luthfi679.blogspot.com